Selasa, 23 Ogos 2011

AKU


Aku adalah pelari senja,
Meredah samar,
Meredah kelam,
Diburu bayang lalu,
Yang tak pernah padam,

Aku adalah pelari senja,

Yang menyimpan duka tak berpenghujung,
Menyimpan resah dipengkalan hati,
Meratap diri dalam sesalan,
Atas dosa-dosa lalu,
Yang tidak pernah lumpuh,

Aku adalah pelari  senja,
Yang diburu duka sendiri,
Dalam mendekati yang hakiki,
Belum dapat kutemui.

Aku adalah pelari senja,
Yang saban hari meratapi,
Hati sendiri yang kerap mati,
Dari mengingati yang azali.

Aku adalah pelari senja,
Yang kadangkala,
Menangis dalam tawa,
Rindu dalam duka,
Bertemumu....entah bila,
Dalam keluh kesah,
Belum  lagi bersedia.

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS



Cabaran kehidupan sering meragut kegembiraanku.  Sesungguhnya keseronokkan dan kesibukan di samping anak-anak istimewa menjadi penawar segala kesedihanku.  Itulah keindahan  perjalanan hidupku sebagai guru kepada anak-anak istimewa ini.  Dari jauh datang dengan lautan kesedihan. Apabila mendekati mereka kesedihanku hilang  bagai debu dibawa angin lalu.

Itulah anak-anak  istimewa .... yang kerapnya  jauh di mata tapi dekat dihatiku.                                      


Yang  kerapnya  dekat di mata dan semakin dekat dihatiku.


Yang kerapnya dipermudahkan Allah segala   usaha yang kubuat untuk mereka. 


Jadilah guru pendidikan khas yang ada kesungguhan dan tidak berkira.


Insyaallah segala yang baik yang kita lakukan untuk mereka akan datang kepada kita semula akhirnya.


Gembirakanlah hati  orang lain.  Insyaallah Allah akan gembirakan hati kita satu hari nanti.

Jumaat, 19 Ogos 2011

BERGURU DENGAN MEREKA



Diluar sedar ,
Apabila  mengajar anak-anak istimewa,
Kita sebenarnya  berguru dengan mereka.

Berguru dengan mereka,
Memberi pengertian besar,
Dalam menempuh arus kehidupan.

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kesabaran,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti keletihan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kesakitan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kesedihan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kesungguhan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kesusahan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  tentang erti kekecewaan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita tentang  erti  rendah diri,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita erti apabila tidak dihargai,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita tentang erti penghinaan,

Berguru dengan mereka,
Mengajar kita  erti  keinsafan,

Dan yang paling berharga apabila berguru dengan mereka,
ialah....
Mengajar kita
Agar sentiasa bersyukur  dengan  nikmat tuhan,

Sabtu, 13 Ogos 2011

PERTANYAAN

Mengapakah?
Di  senja kehidupan ini,

Perasaan ini....sering terguris,

Perasaan  ini......sering terhiris,

Perasaan  ini .....sering pilu,

Perasaan  ini....sering terharu,

Kerana usiakah?.
Kerana pengalamankah?
Kerana  kekecewaankah?
Kerana kelembutan hatikah?
Aku lemas dalam lautan tidak pasti.

Adakah  noktahnya..
Perasaan  ini?.
Aku  sering menanti,
Dalam sangkar duka di hati

Muga ada hikmah disebaliknya.

DIA LEBIH MENGETAHUI APA YANG  TIDAK KITA  KETAHUI..

Jumaat, 12 Ogos 2011

Bicara 20 :Guru Pendidikan Khas

Jika tidak  suka ditegur,
Buatlah seperti yang telah diajarkan,
Jangan selalu  pula lepas tangan,

Jika tidak suka ditegur,
Buatlah seperti yang telah diajarkan,
Jangan selalu pula beri alasan,

Jika tidak suka ditegur,
Buatlah seperti yang telah diajarkan,
Jangan biar murid ketinggalan,

Jika tidak suka ditegur,
Buatlah seperti yang diajarkan,
Jangan biar  program kemunduran,

Jika tidak suka ditegur,
Buatlah seperti yang diajarkan,

Jangan  selalu pula lepas tangan,
Jangan selalu pula beri alasan,
Kasihan murid ketinggalan,
Kasihan program  kemunduran,

Lagi kasihan...
Bila kita hendak jawap soalan tuhan.
Tertunaikan amanah yang diberikan?
Berbaloikah elaun yang telah digunakan?

Lebih takut...
Insan-insan istimewa ini akan menuntut haknya,
Yang tidak pernah kita sempurnakan.

Menulis untuk memberi peringatan pada diri ...

Orang yang ingin berjaya sentiasa memandang kritikan sebagai satu aset dalam kehidupan.

Sayangkan anak tangan-tangankan. 
Hendak  majukan PPKI kena tegur-tegurkan,
Menegur bukan kerana benci,
Tanda sayang agar kesilapan tidak berlaku lagi.

Teruskan usaha untuk majukan PPKI negeri Melaka.

Tak kisah apa orang hendak kata... Yang penting amanah telah terlaksana




Isnin, 8 Ogos 2011

BUAT ADIK-ADIK DI PPKI SKUP



Meskipun mereka  bukan sahabat karibku,
Bukan juga  ahli keluargaku,
Tetapi....
Keakraban mereka,
Terasakan bagai sebuah keluarga bahagia.

Itulah adik-adik  di Program PPKI ku,
Yang selalu ketawa,
Walaupun dalam kesibukan,
Yang selalu gembira,
Walaupun dalam keletihan,


Masih tersenyum,
Walau kerap diteguri,
Masih boleh bergurau,
Walau kerap dimarahi,

Masih sedia menanti,
Walaupun lawatan tidak pernah berhenti,
Masih bermotivasi,
Walau semua makanan tetamu,
Kena masak sendiri.

Tahu selesaikan tugasan,
Bila diarahkan,
Tahu bidang masing-masing,
Bila ditinggalkan, 

Banyak membantu memajukan program,
Tidak berkira masa dan tenaga,
Tidak berkira wang dan idea,

Terlalu sukar untuk dicari,
Kerjasama yang sebegini,
Muga keakraban kekal  abadi,
Demi mendidik anak-anak istimewa ini.

Terima kasih... semua guru-guru dan PPM di PPKI SKUP

Ahad, 7 Ogos 2011

ABAH DALAM KENANGAN




6 OGOS 2008  adalah tarikh keramat dalam kehidupan keluarga Haji Hitam. Tuan Haji Hitam Bin Hashim telah pergi menemui tuhannya pada tarikh ini. Kini telah genap 3  tahun abah tinggalkan  isteri, anak menantu, cucu dan cicitnya.

Seluruh keluarga terperanjat besar dengan pemergian abah. Begitu juga  orang kampung Padang Temu  Melaka.  Ini adalah kerana petang itu banyak mata yang melihat abah kayuh basikal pergi ke pasar malam.  Kata adik,  abah pergi pasar malam beli buah epal  hijau untuk dibuat jus.

Mengikut  nasihat doktor  itu adalah air minuman yang baik untuk abah sejak abah disahkan oleh doktor menghidap masalah  saluran  jantung tersumbat.

Emak adalah orang paling terperanjat.  Sebabnya  pada hari itu lebih kurang 1 pagi  emak tersedar abah bangun dari  tidur. Abah buka  lampu  bilik dan cakap dengan emak dia  tidak  boleh tidur  sebab ada nyamuk.

Menurut emak lagi,  abah ambil racun serangga  ridset dan sembur dalam bilik.  Lepas itu  emak perasan abah baring kembali  sebelah emak. Emak dengar abah  mengucap kalimah syahadah dan beri tahu emak yang dia akan mati.  Emak  fikir abah saje-saje cakap.

Menurut emak,  sejak abah disahkan menghidap penyakit jantung abah memang sentiasa sebut tentang mati. Itulah sebabnya emak tidak ambil kisah sangat tentang cakap abah  pada malam itu.  Tambahan pula sepanjang hari  itu abah terlalu ceria dan bergelak ketawa bersama anak-anak serta cucu-cucunya.  Abah tidak ada langsung mengadu sakit pada emak  apatah lagi  menunjukkan sikap-sikap ganjil.

Menurut emak  juga memang abah suka bangun tiap-tiap tengah malam. Solat dan sering menangis ditikar sembahyang. Lepas itu tidur semula. Jadi  emak masih fikir  perkara yang sama  berlaku pada waktu itu. Tambahan masa itu emak kata dia dalam keadaan  betul-betul mengantuk.

Dalam keadaan emak masih terlayang, emak sempat juga  picit  lengan abah yang baring disebelahnya. Tetapi emak kata abah diam sahaja.  Pada masa itu emak baru teringat semula akan kata-kata abah  sebelum  itu.  Emak bingkas bangun  dan panggil nama  abah. Rupa-rupanya abah betul-betul telah tiada.

Doktor dipanggil  untuk mengesahkan keadaan abah. Akhirnya doktor mengesahkan abah telah meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi. Abah pergi semasa  berusia  77 tahun. Abah meninggalkan seorang isteri, 11 orang anak ,11 orang  menantu, 54 orang cucu dan  16 orang cicit.

Yang agak unik  tentang abah ialah nama abah sama dengan nama emak iaitu Hitam. Cuma bezanya nama abah ialah  Hitam  bin Hashim dan  nama emak Hitam bt  Abu.

Padaku,  ada kenangan terindah dengan nama ini,  iaitu masa aku ditemuduga untuk memasuki maktab. Aku ditanya oleh penemuduga.  "Mengapa nama emak dan ayah awak sama?"  Aku hanya senyum  dan menjawap "tidak tahulah, dah jodoh mereka". Penemuduga hanya senyum  dan menyambung " Awak tahu lagu 10 budak hitam?"   "Tahu" jawapku ringkas. "Baiklah, sekarang  saya hendak awak nyanyikan lagu 10 budak hitam".

Setelah selesai menyanyi aku ditanya beberapa soalan dan diminta keluar kerana sesi temuduga pada hari itu telah tamat. Hatiku begitu gundah sekali adakah aku akan berjaya menjadi guru, jika itu sahaja yang ditanyakan? Persoalan datang dan pergi menerjah difikiranku.

Walau apapun aku serahkan pada Allah sahaja keputusannya. Tambahan pada masa itu aku sedang berada ditingkatan 6.  Bagiku, kalau aku gagal ke maktab perguruanpun, cita-citaku untuk masuk ke universiti insyaallah akan tercapai kerana aku masih berpeluang menduduki  Sijil Tinggi Persekolahan.

Allah   maha mengetahui. Rupanya lagu 10  Budak  Hitam itu membawa tuah padaku. Aku telah diminta melapur diri di Maktab Maktab Perguruan Melayu Melaka pada tahun 1982. Tingkatan 6  Atas kutinggalkan walaupun hati sayu kerana aku sudah mula meminati mata pelajaran yang sedang kupelajari  dan bercita-cita lebih tinggi  untuk memasuki universiti.

Berbalik cerita tentang abah.  Abah hanya seorang nelayan.  Dilahirkan  di Kampung Parit  Sakai Laut  Muar Johor dalam sebuah keluarga miskin. Kampung abah sangat indah pemandangannya.  Terletak di tepi laut. 

Masa kecil-kecil dulu,  aku rajin juga balik kampung abah, terutama apabila musim buah-buahan. Banyak kenangan manis sepanjang berada di kampung abah .  Aku  berpeluang  panjat pokok manggis, petik buah rambutan dan tunggu buah durian gugur.

Kampung abah jauh dari jalan besar. Kalau balik kampung abah masa kecil-kecil  dulu, turun sahaja bas kena jalan kaki hampir 2 kilometer untuk sampai kampung abah. Sepanjang jalan masuk kampung abah ada sungai. Boleh lihat banyak  anak-anak ketam tepi sungai yang berlumpur.  Seronok juga  lihat budak-budak  berenang  disungai  bila balik kampung abah. 

Di kampung abah  ada bahan sejarah iaitu  Makam  Panglima Lidah Hitam. Cerita tentang kampung abah  pernah kutuliskan.  Hasil tulisanku itu telah mendapat tempat ke 3 dalam pertandingan mengarang sejarah sekolah Menengah negeri Melaka.

Menurut emak  lagi,  abah  telah turun ke laut sejak kecil kerana datuk meninggal  dunia masa muda dan meninggalkan 8 orang anak yang masih kecil. Sebagai anak lelaki abah dan abang-abangnya telah memikul amanah untuk menyara keluarga.

Jadi,  abah telah meredah  laut  semasa rakan-rakan  seusianya masih lagi bermain-main. Kelainan pada  abah  ialah dia tidak pernah mahu anak-anak lelakinya mengikut jejak langkahnya. Walaupun seorang daripada anak lelaki abah bermasalah pembelajaran, namun tidak pernah terlintas dihati abah untuk  melatihnya  ke laut.

Abah mahu semua anak-anaknya berjaya dalam hidup.  Kepayahan mencari rezeki terutama pada  musim tengkujuh tidak pernah mematahkan semangat abah untuk menyara anak-anaknya hingga berjaya. Cuma 2 orang anak perempuan abah yang tidak berjaya untuk abah sekolahkan dan terpaksa berhenti di sekolah rendah atas desakan hidup. 

Selain itu anak lelaki abah yang menghadapi masalah pembelajaran juga  tidak ke sekolah kerana pada masa itu tidak ada Program Pendidikan  Khas  Bermasalah  Pembelajaran.

Kini anak-anak  abah telah menjawat jawatan yang agak tinggi juga.  Yang tidak dapat bersekolah pula telah melahirkan anak-anak yang berjaya masuk ke Universiti.

Abah hanya ada sebuah basikal buruk.  Abah tidak tahu menunggang motosikal apatah lagi memandu kereta. Abah cuma tahu memgendali bot di samudera terbentang luas. Abah tidak tahu membaca rumi  apatah lagi menulis. Rasanya abah boleh sedikit-sedikit membaca jawi.  Abah juga tidak tahu mengaji.

Menurut emak kalau abah bangun sembahyang  malam emak hanya dengar abah baca  tiga surah kul. Semasa   hendak pergi menunaikan haji,  abah hafal semua doa-doa  dengan bantuan emak.

Walaubagaimanapun abah pandai mengira. Ikan yang dijual tidak pernah guna kalkulator. Cuma guna kaedah congak selepas ikan ditimbang. Aku kagum dengan abah.

Hasil perkongsian hidup abah dan emak mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata.  6 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Banyak kenangan pahit yang abah lalui dalam membesarkan anak-anak.

Pernah sekali waktu ribut kencang, bot abah pecah dan karam  dilanggar oleh tongkang besar.   Aku sendiri resah pada malam itu. Kulihat  emak bangun dan solat hajat .  Mungkin emak dapat mersakan sesuatu yang buruk berlaku pada suaminya.

Bot  abah rosak teruk dan jaring juga koyak habis. Mujur ada bot nelayan lain jumpa dan selamatkan abah serta  rakannya pada malam itu.  Situasi begini yang membuatkan kadangkala makan terpaksa bercatu. Saudara mara turut membantu.

Soal pakaian pula,  kami selalunya memakai pakaian sumbangan sanak saudara dan orang yang mengenali kesusahan kami. Emak juga ada ajar mengaji  anak orang kampung dan anak seorang guru  Selalunya guru ini akan memberi pakaian-pakain yang masih elok dan sesuai dipakai oleh kami sekeluarga.

Dilain masa pula aku tidak  lupa juga bot abah hilang di jeti.  Menurut siasatan   yang dibuat oleh  polis,  bot itu mungkin telah dibawa lari  ke Indonesia dan sukar untuk ditemui semula. Abah betul-betul susah hati. Mungkin masa itu aku lihat abah  macam putus asa. Berbagai kerja lain abah buat untuk menyara keluarga.

Semua anak-anak abah termasuk aku juga membantu. Balik sekolah pergi tebang atap nipah .  Malam hari membuat atap untuk dijual.  Aku agak mahir juga  dalam kerja ini.  Agak lama juga aku membuat kerja tambahan ini untuk membantu emak dan abah menyara keluarga.

Abah juga ada tanam pokok koko. Pada waktu   petang atau  hujung minggu  abah dan anak-anaknya akan ke kebun  untuk menyiram pokok koko.  Bila sudah  mengeluarkan hasil kami akan petik koko   dan abah  keringkan untuk dijual kepada peraih.

Bila tidak menebang atap  nipah aku akan mengikut ibu saudaraku mencari kayu api.  Tempatnya agak jauh juga dari rumah. Keluar rumah lepas zohor, balik ke rumah menjelang tamat waktu asar. Hanya membawa seikat kayu api.  Kalau lihat  cerita ratapan anak tiri, teringat semula kisah yang kulalui ini.

Kalau tidak membuat atap nipah  pada waktu malam aku membantu emak mengajar mengaji.  Murid mengaji emak ramai hampir 20  orang.  Penuh anjung rumah.

Kadangkala hujung minggu aku dan kakak sepupuku akan pergi ke kebun  kelapa terbiar untuk mencari kelapa kering yang gugur. Kelapa ini adalah untuk membuat minyak masak. 

Dirumah, emak sediakan   parut kelapa . Adik-adik lelakiku pun dilatih oleh emak untuk memarut kelapa bagi dibuat minyak masak. Tapak tangan memang kasar dan urat-urat timbul ditangan boleh dilihat hingga sekarang  Ini adalah kesan dari membuat kerja-kerja kasar sejak dari kecil lagi.

Itulah kepayahan hidup yang abah dan anak-anak lalui.  Yuran kadangkala  lambat dibayar. Ke sekolah  bawa bekal lempeng  kelapa  cecah gula balut daun pisang.  Apapun pelajaran tetap diteruskan.

Serik dengan kehilangan bot di jeti kampung,  abah bertukar tempat kerja.  Abah beli bot  baru dan mencari rezeki di Muar tempat tumpah darah abah. Bila tidak ke laut abah akan balik ke  Melaka. Itulah abah yang telah banyak berkorban untuk membesarkan anak-anaknya yang 11 orang ini.

Aku masih ingat semasa hayatnya abah mempunyai sifat yang amat pemurah. Dia cukup suka bersedekah  terutama pada ahli keluarganya yang susah.  Semasa  ibunya masih ada, abah tidak pernah berhenti hantar belanja walaupun pada masa dahulu jarak antara Muar dan Melaka itu agak jauh juga  jika tidak  mempunyai kenderaan sendiri.

Abah adalah orang yang amat tersentuh bila dengar tentang orang miskin. Mungkin pengalaman hidup  abah jadikan abah begitu. Teringat sekali masa adik hendak mendirikan ruamh tangga, kawan abang dari sebuah felda datang dan bermalam dirumah kami. Kalau dulu sebut  sahaja felda semua  orang tahu mereka susah.

Abah suka simpan duit dalam saku seluar dan gantung seluar ditepi dinding rumah. Tanpa disedari kawan abang curi  semua duit abah.  Kami nak lapor  polis. Abah larang dan menangis. Abah kata dia dah rasa macam mana hidup susah nak besarkan anak-anak. Mungkin kawan abang betul-betul terdesak itu sebab dia mencuri. Abah  halalkan aje duitnya  yang dicuri itu . Abah begitu yakin Allah akan gantikannya semula. Aku begitu tersentuh  melihat pendirian dan ketulusan abah.


Abah akan berbelanja besar apabila anak-anak balik bercuti.  Apabila sudah berhenti jadi nelayan., abah akan beli udang saiz besar  buat sambal apabila anak-anaknya balik kampung. Musim durian abah borong durian berguni-guni untuk beri anak-anak makan. Memang saat paling gembira pada abah kalau semua anak-anaknya balik kampung.

Dihujung hayat abah,  Allah murahkan rezekinya. Anak-anaknya  yang telah dididik dari kecil tidak pernah menghampakannya.  Setiap bulan abah akan dapat imbuhan yang banyak juga dari anak-anaknya  terutama anak lelaki.  .Abah  suka sedekahkan duit pemberian anak-anak  pada orang miskin dan juga sebahagiannya abah simpan ditabung haji.

Abah akan senyum lebar bila dengar anak-anak naik pangkat. Aku masih ingat pada tahun 2005 apabila  seorang dari adik lelakiku  dinaikkan pangkat  jadi pengarah disebuah IPTA di Melaka, abah adalah  orang  yang  paling gembira.

Begitu  juga apabila seorang lagi adik lelakiku telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus syarikat terkemuka di Asia Tenggara, abah makin bangga daan lebih banyak bersedekah sebagai tanda syukur dengan nikmat kurnianya.


Abah tidak pandai menyombong walaupun dia telah hidup senang.  Dia selalu ingatkan  kami supaya jangan sombong walau dah berjawatan tinggi, hurmati orang tua apatalah lagi orang miskin.  Tapi kalau dengar abah cakap memang tak siapa sangka abah baik hati. Bahasa abah memang agak kasar.  Dah lama jadi orang Melakalah katakan, terikut-ikut cara orang Melaka cakap.

Adik juga seorang penceramah. Abah berpesan pada adik kalau ada orang kampung jemput beri ceramah jangan ambil bayaran, kerana kata abah itu adalah amal jariah.  Hingga kini adik masih ingat lagi pesan abah itu.

Abah paling suka kalau dengar adik dijemput beri ceramah di TV. Walaupun tidak faham kerana kadangkala ceramah adik cakap   Bahasa Inggeris, abah akan tunggu hingga rancangan selesai. Bila datang rumah ,  adik cerita semula pada abah  isi ceramahnya itu.

Aku masih ingat yang abah  amat gembira bila di beritahu yang aku dapat sambung belajar buat Ijazah Sarjana Muda melalui  Pendidikan Jarak Jauh.  Tiap kali aku menziarahinya, dia  akan tanya bila aku akan habis belajar. Sedihnya abah pergi dahulu sebelum sempat melihat aku menggenggam segulung ijazah.

Abah juga banker pada anak-anak dan cucu-cucu yang  menghadapi masalah kewangan . Masih terpahat dalam ingatanku semasa berjumpa abah  dan menyampaikan niat untuk  tambah rumah buat tempat tuisyen untuk anak-anak  istimewa  abah cukup suka. Tanpa lengah abah tanya nak guna berapa dan minta aku bawa dia ke  tabung Haji bagi membuat pengeluaran wang.
     
Bayaran semula pada  abah dibuat dengan cara masukkan semula wang ke tabung haji abah setiap  bulan ikut  kemampuanku. Bayaran ansuran itu selesai setelah  beberapa  bulan abah meninggal   dunia.

Akhirnya tempat tuisyen itu kini menjadi  Taska Raudhatul Sakinah yang diterajui oleh anak-anak dan menantuku.   Muga dengan berkat bantuan abah,  pahala terus mengalir pada abah melalui  program taska anak-anakku yang menerapkan   hidup cara sunnah.

Sesungguhnya abah tetap dalam kenangan meskipun telah lama meninggalkan kami. Doa dari  isteri, anak-anak, menantu dan cucu cicit abah sentiasa  meniti di bibir dan hati.  

Pahala untuk  abah tetap  sentiasa menanti dari isteri , anak-anak serta cucu cicit yang telah hafiz dan hafizah, soleh dan solehah  yang  sentiasa  meletakkan kasih abah dihati.  Abah adalah abah   mithali buat kami.

Telah disiarkan di majalah MIDI November 2011

Jumaat, 5 Ogos 2011

Bicara Guru Pendidikan Khas

Apa yang kutulis bukan untuk   mengajar  sesiapa, kerana aku juga sedang belajar bagaimana untuk menjadi  guru yang baik kepada anak-anak istimewa.

Khamis, 4 Ogos 2011

Kata-kata hikmah

1.Biasakan diri dengan mengeluarkan sedekah meskipun hanya sedikit
   kerana sedekah dapat memadamkan api kesalahan,
   menggembirakan hati,
   menghilangkan keresahan dan menambah rezeki.

2. Jadilah orang yang berpandangan luas.
    Berusahalah untuk memaafkan sesiapa sahaja  yang berbuat  jahat kepada kita
    Agar  kita boleh menikmati hidup dengan damai dan tenang. 
    Buangkanlah jauh-jauh  
    Keinginan untuk membalas dendam.
  
3. Semulia-mulia  manusia ialah siapa yang mempunyai adab,
    Merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, 
    Memaafkan ketika berdaya membalas dan
    Bersikap adil ketika kuat.

4.Apa ada pada nama, kalau tidak diberi makna,
   Apa ada pada budi, kalau hati sendiri mati,
   Apa ada pada guru, kalau kita sendiri kelabu,
   Apa ada pada pelajar, kalau diri kurang ajar,
   Apa ada pada pegawai, kalau diri sendiri lalai,
   Apa ada pada pekerja, kalau kita sentiasa leka,
   Apa ada pada  misi, kalau kita sendiri sangsi,
   Apa ada pada visi, kalau kita tidak  hargai,
   Segalanya bermula pada diri kita sendiri,
   Ada hati, ada budi ada dedikasi, segalanya boleh kita cari.
    - Pn Hjh Hamidah
      Tokoh guru Melaka 2011